Saturday, January 23, 2010



MusdahMulia

Oleh : Zulkarnain Zakaria

Barat nampaknya terus-menerus memberikan pengiktirafan tinggi kepada individu-individu yang memalukan Islam. Kalau sebelum ini mereka menjadikan Salman Rushdie (novelis The Satanic Verses), Aayan Hirsi Ali, wanita Islam Somalia yang telah murtad dan kini berlindung di Belanda serta Talisma Nasrin, penulis Bangladesh yang sedang bermastautin di Amerika Syarikat sebagai wira, kini mereka memberikan pengiktirafan pula kepada seorang lagi individu serupa.

Wirawati baru mereka itu ialah Profesor Dr. Siti Musdah Mulia, seorang pendukung liberal femenisme yang menyokong lesbian, gay serta homoseksual.
Pengiktirafan itu diterima oleh Dr. Siti Musdah pada 26 November lalu dari II Premio Internazionale La Donna Dell' Anno Year 2009 (Anugerah Antarabangsa Wanita 2009), yang diadakan di Saint Vincent, Itali.

Musdah Womenof the year
Prof. Dr. Siti Musdah Mulia sebagai Women of the Year 2009 pada Il Premio Internazionale La Donna Dell `Anno (International Prize for the Woman of the Year) 2009 di Saint-Vincent, Italia.

Dr. Siti Musdah menewaskan dua orang finalis lain, iaitu Aicha Ech Channa dari Maghribi dan Mary Akrami, Afghanistan. Majlis penganugerahan tersebut dihadiri oleh 200 orang tetamu dan wartawan, manakala pihak Kedutaan Besar Indonesia di Rom diwakili oleh Wakil Presiden, Yuwono Agus Putranto.

Untuk rekod, Anugerah Antarabangsa Wanita 2009 itu dibentuk pada 1998 oleh Majlis Serantau Aosta Valley dengan kerjasama Kementerian Luar Itali, Aosta Valley dan Soroptimist International Club Valle d'Aosta. Penghargaan itu turut mendapat pengiktirafan Presiden Itali.

Ketiga-tiga finalis pula dipilih melalui saringan yang ketat daripada 36 orang calon dari 27 buah negara. Semua mereka adalah wanita dan dianggap telah memberikan sumbangan besar kepada wanita di negara masing-masing.

Aicha Ech Channa adalah pengasas Solidarite Femanine (SF) yang ditubuhkan pada 2002 untuk membantu ibu-ibu tunggal di Maghribi. Mary Akrami pula menjalankan pelbagai kegiatan amal untuk mewujudkan pusat-pusat perlindungan membantu wanita Afghanistan mendapatkan pelajaran, kemahiran serta kebolehan membuat keputusan.

Musdah IRI
Dr Musdah Mulia menghuraikan strategi menguasai pilihanraya Indonesia anjuran IRI (International Republican Institute), sebuah yayasan demokrasi, Amerika Syarikat.

Jadi, mengapa Dr. Siti Musdah, 51, dipilih sebagai pemenang, bukannya Aicha atau Mary? Inilah persoalannya. Secara ringkasnya, Dr. Siti Musdah merupakan seorang kaunselor dan penulis keagamaan yang terkenal di Indonesia. Beliau juga merupakan Ketua Lembaga Agama dan Gender serta pernah menjadi Ahli Peneliti Utama Syarahan Keagamaan, Badan Penelitian dan Pengembangan Agama, Indonesia.

Selain itu, Dr. Siti Musdah adalah pensyarah Pemikiran Politik Islam di School of Graduates Studies, Universiti Islam Syarif Hidayatullah, Jakarta, juga Profesor Penyelidik di Institut Kajian Sains Indonesia sejak 2003.

Seperti yang dinyatakan di atas tadi, faktor utama yang sering kali diberikan perhatian oleh Barat untuk memilih pemenang adalah keberanian seseorang itu menentang aliran pemikiran umum serta tradisi. Tetapi, dalam konteks ini, apa yang dipertikaikan ialah, perkara yang ditentang oleh Dr. Siti Musdah adalah juga, antaranya sudah termaktub di dalam al-Quran dan hadis serta disepakati oleh jumhur ulama.

Antaranya, pada 2004 Dr. Musdah telah mengetuai perbincangan Tim Penulis Pembaruan Hukum Islam yang kemudiannya mengeluarkan Counter Legal Draf - Kompilasi Hukum Islam (CLD-KHI) dengan membuat resolusi bahawa:

* Poligami tidak sah dan mesti dinyatakan batal secara undang-undang.

* Perkahwinan yang berbeza agama, termasuk antara Muslimah dan bukan Islam mesti dikira sah.

* Masa 'iddah bukan hanya untuk wanita sahaja, tapi juga untuk laki-laki. Masa 'iddah laki-laki adalah 130 hari.

* Isteri juga boleh menjatuhkan talak.

* Bahagian warisan anak laki-laki dan anak perempuan adalah sama.

Ekoran itu Majlis Ulama Indonesia (MUI) dengan tegas menyelar draf ini sebagai bidaah (penyimpangan) dan taghyir (perubahan) dari hukum Islam. MUI juga menganggap CLD-KHI sebagai tindakan memanipulasi nas-nas al-Quran.

Tindakan Dr. Musdah dan gagasan CLD-KHI itu juga membuatkan Menteri Agama Indonesia ketika itu, Prof. Dr. H. Said Agiel Al Munawar mengecam Tim Penulis Pembaruan Hukum Islam itu agar tidak lagi mengadakan seminar atau kegiatan serupa atas nama Tim Departemen Agama. Beliau juga mengarahkan semua draf CLD-KHI diserahkan kepada Menteri Agama RI.

Tidak habis di situ, Menteri Agama Republik Indonesia yang baru, Maftuh Basyuni kemudiannya segara membatalkan CLD-KHI pada 14 Februari 2005. Dr. Siti Musdah pula sebagai Ketua Tim Penyusun CLD-KHI dilarang menyebarluaskan idea tersebut.

MusdahIrshadManji
Musdah Mulia bersama Irshad Manji, seorang penulis Kanada yang mengkritik Islam yang beridolakan Salman Rushdie


Berhentikah Dr. Musdah? Tentu saja tidak. Beliau bersama kawan-kawannya dengan dibantu oleh The Asia Foundation, sebuah dana tajaan Amerika Syarikat (AS) yang sering mendukung gagasan liberalisme, terus menghebahkan idea liberalnya itu. Malah, Dr. musdah kemudian muncul bersama para penulis buku Fiqh Lintas Agama yang membawa idea bercanggah dengan kesepakatan jumhur ulama.

Pada September 2009, Dr. Siti Musdah muncul lagi sebagai salah seorang tokoh di Indonesia yang menyatakan sokongan supaya pelakon filem lucah Jepun, Maria Ozawa diberikan kebenaran masuk ke Indonesia bagi menjalani penggambaran sebuah filem berjudulMenculik Miyabi.

Bagaimanapun, klimaks kepada pendirian liberal Dr. Musdah ialah apabila beliau mahu dihalalkan sesuatu yang sudah terang dan jelas diharamkan oleh Islam, iaitu homoseksual serta aktiviti lesbian dan gay.

Keberanian Dr. Siti Musdah ini antara lainnya telah beliau nyatakan dalam sebuah perbincangan dengan aktivis-aktivis Islam Liberal Indonesia pada 31 Mac yang lalu di Jakarta. selesai perbincangan itu, Dr. Musdah sebagai ketuanya tampil dengan resolusi yang sangat mengejutkan iaitu: "Homoseksual adalah perkara semula jadi dan ia diciptakan oleh Tuhan, oleh itu ia dibolehkan dalam agama."

Musdah mulia1
Musdah Mulia bersama Paula Dobriansky, Timbalan Setiausaha Negara, Amerika Syarikat. Ketika itu dia mendapat anugerah 'Internationa Women of Courage Award' dari Jabatan Negara, USA.
Musdah_mulia-WM-1b
Musdah Mulia bersama Condoleeza Rice, (ketika itu) Setiausaha Negara Amerika Syarikat


Pengharaman homoseksualiti, dakwa Dr. Musdah, sebenarnya dilakukan oleh ulama-ulama yang berfikiran sempit. Sedangkan, tegas beliau, tiada perbezaan antara lesbian dan bukan lesbian kerana orang yang dipandang mulia oleh Allah adalah yang bertakwa.

"Bercakap tentang takwa, hanya Allah yang layak menghakiminya. Intipati ajaran Islam ialah memanusiakan manusia, hormat menghormati dan menjaga maruah mereka," tegas beliau.

Pandangan Dr. Musdah ini disokong oleh Pengarang Urusan majalah Mata Air, Soffa Ihsan. Soffa turut bersetuju homoseks, gay dan lesbian boleh diamalkan dengan alasan kepelbagaian dan kesamarataan, termasuk dalam soal seks. Untuk itu, kata Soffa, ijtihad baru mesti dilakukan supaya masyarakat tidak beku dalam pemikiran lapuk.

Anehnya, seorang wakil dari Nahdatul Ulama (NU), Nurofiah yang turut menyertai perbincangan itu juga menyatakan sokongannya kepada Dr. Musdah dan homoseksual. Ahli NU itu berhujah, homoseksual diharamkan hanya kerana ia dibantah oleh majoriti anggota masyarakat, bukannya oleh agama.

Seorang lagi peserta perbincangan tersebut pula mengatakan, atas dasar kepelbagaian itu tadi, Indonesia sendiri sebenarnya menerima homoseksualiti. Sebagai contoh, masyarakat Bissu di Makassar bukan setakat menerima homoseksual, malah meletakkan orang itu di tempat yang tinggi. Masyarakat Penorogo juga dikatakannya mengamalkan homoseksual.

Bagaimanapun, pandangan Dr. Musdah dan sahabat-sahabat liberalnya ini disanggah keras oleh golongan agama di Indonesia, terutamanya Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Hizbut Tahrir Indonesia. Pengerusi MUI, Amir Syarifuddin mengecam dengan berkata, "Ia berdosa. Kami bukan kata orang yang mengamalkan homoseks itu musuh, tetapi kami mahu mereka tahu apa yang mereka buat itu salah di sisi agama."

Pengerusi HIT, Rokhmat pula menggesa mereka yang mengamalkan homoseksual dan yang menyokong perlakuan itu supaya segera bertaubat dan kembali ke jalan yang lurus.

Nahdatul Ulama Indonesia (NU), sebuah pertubuhan yang dianggotai Dr. Musdah turut menjauhkan diri daripada tokoh femenisme berfikiran liberal itu. Pemimpinnya, Abdullah Syamsul Ariffin menempelak dengan berkata, memang Dr. Musdah ahli NU, namun ideanya itu tidak sejalan dan tidak dipersetujui oleh NU. "Soal pemikiran memang hak setiap orang. Jadi dia memiliki pemikiran seperti itu merupakan hak dia," kata Abdullah.

Melihat kepada kelantangan Dr. Siti Musdah itu, Ketua Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia, Dr. Adian Husaini pula tanpa ragu-ragu mengatakan wanita itu memang 'berani'. "Dr. Musdah memang sangat berani dalam menyuarakan pendapatnya, meskipun sangat kontroversi dan mengejutkan banyak pihak."

'Berani' yang dimaksudkan oleh Adian bukanlah berani menyatakan kebenaran untuk menghancurkan kebatilan atau kezaliman, tetapi berani mengubah-ubah hukum Islam sambil menganggap dirinya sebagai mujtahid.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah pelbagai penghargaan telah diraih oleh Dr. Musdah atas besarnya 'sumbangan serta keberanian melawan pemikiran tradisi.'

AnwarParlimenReligous
Musdah Mulia (tengah) bersama Anwar Ibrahim dalam program Parlimen Agama Dunia (The Parliament of World's Religions), di Melborne, Australia pada 4-5 Disember 2009.


Untuk pengetahuan anda, sebelum penghargaan dari Itali ini, Dr. Musdah pernah menerima Anugerah Wanita Gigih Antarabangsa pada 7 Mac 2007, dari kerajaan Amerika Syarikat. Majlis penganugerahan itu dilakukan sendiri oleh Menteri Luar AS ketika itu, Condolezza Rice di pejabat Kementerian Luar AS, Washington DC.

Apa yang menarik, Dr. Musdah memberitahu, dia hanya mempunyai satu hari sahaja untuk menguruskan visa dan terbang ke negara berkenaan, dan semuanya dapat dibereskan dengan mudah.

Dr. Musdah sememangnya seorang yang berani. Jika tidak berani, tidak mungkin sejurus selepas menerima anugerah II Premio Internazionale La Donna dell 'Anno Year 2009, beliau memberitahu sebuah akhbar Itali bahawa, "Aku tidak takut orang-orang yang menghalangi pekerjaan aku."

Sedikit lagi fakta ringkas Dr. Siti Musdah Mulia

Lahir di Bone, Sulawesi Selatan pada 3 Mac 1958. Beliau adalah Pengerusi Persidangan Agama Untuk Keamanan Indonesia sejak 2007, iaitu sebuah NGO yang mempromosi dialog antara agama, pluralisme dan demokrasi bagi tujuan keamanan.

Dr. Musdah juga merupakan Penasihat Kanan kepada Menteri Hal Ehwal Agama (1999-2007) dan melalui institusi itu, serta atas kapasitinya sebagai Kordinator Pasukan Pemerdanaan Gender, pada 2004 beliau melancarkan The Counter Legal Draf-Kompilasi Hukum Islam (CLD-KHI) yang mencetuskan kontroversi itu.

Selain itu, Dr. Musdah adalah Ketua Bahagian Penyelidik Majlis Ulama Indonesia (MUI) mulai 2000-2005 serta fellow pelawat kepada pelbagai universiti. Sehingga kini beliau telah menulis pelbagai buku, antaranya Muslimah Reformis, Islam Mengkritik Poligami sertaIslam dan Inspirasi Kesamaan Gender.

sumber Al Islam, Februari 2010

No comments:

Post a Comment