Followers

Wednesday, August 15, 2012

Edisi Hero Malaysia: Datuk Punch Gunalan meninggal dunia.





KUALA LUMPUR: Legenda badminton dan Ahli Dewan Pemasyhuran Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Punch Gunalan telah meninggal dunia pada usia 68 tahun.

Mendiang meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pada pukul 6 pagi tadi selepas sekian lama bertarung dengan penyakit kanser hati yang dihidapi oleh beliau.

Berikut ialah biodata mendiang, beliau dilahirkan pada tanggal 14 Ferbruari 1944 di Sepang, Selangor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah King George V di Seremban dan seterusnya melanjutkan pelajaran di United Kingdom pada tahun 1964. Pembabitan beliau dalam sukan badminton bermula pada tahun 1960 an apabila menjadi juara Kejohanan Badminton Negeri Sembilan bagi acara perseorangan, beregu dan beregu campuran pada tahun 1961-1963.

Kemudian, beliau menjadi juara remaja Kejohanan Badminton Gabungan Asia (ABC) di Kuala Lumpur pada tahun 1962 dan seterusnya kejayaan demi kejayaan dikecapi dan ianya dibuktikan apabila beliau ditabalkan menjadi olahragawan negara pada tahun 1969. Kemudian pada tahun 1970, beliau telah diberi kepercayaan untuk mewakili negara Malaysia dalam Piala Thomas buat kali pertama. Beliau kemudiannya ditabal sekali lagi sebagai olahragawan negara berikutan kejayaannya meraih emas acara perseorangan dan gangsa bagi acara beregu di Kejohanan Komanwel di Christchurch, New Zealand.



Selepas bersara dalam karier sebagai pemain badminton, beliau dilantik menjadi Ketua Jurulatih Pasukan Piala Thomas Malaysia pada tahun 1992 dan memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia dari tahun 1985 sehingga tahun 1997. Beliau juga turut aktif dalam Asian Badminton Confederation (ABC) sebagai Setiausaha Agung Kehormat dan Naib Presiden bagi International Badminton Federation (IBF) dari 1999 hingga menghembuskan nafas terakhirnya. Antara anak didik Punch Gunalan yang terkemuka ialah Rashid Sidek, Razif Sidek dan Foo Kok Keong.

Mendiang meninggalkan seorang balu, P.Vijeyakumari, 64, dan seorang anak lelaki Roshan Gunalan, 36, yang kini merupakan seorang doktor ortopedik.





No comments: