Penulis menerima satu emel daripada salah seorang penduduk Kg
Genting berkaitan isu pengambilan tanah mereka untuk memberi laluan kepada satu
projek yang kononnya dari Kerajaan Persekutuan yang dinamakan sebagai Projek
AWLU. Setahu penulis, isu ini telah menyepi sejak dua tahun lalu dan
kemudiannya timbul semula apabila mereka menerima dua pucuk surat, satu
daripada Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Barat dan satu lagi daripada Pejabat
SUK pada 20 dan 29 Jun 2012 yang lalu. Sebelum penulis ulas lebih lanjut,
Projek AWLU atau Asian Women Leadership University ini merupakan satu projek
EPP (Entry Point Project) oleh Kerajaan Persekutuan diluluskan sendiri oleh YAB
TPM iaitu Tan Sri Hj. Muhyidin bin Hj. Mohd Yasin di Hub Pendidikan Pulau
Pinang. Di sini, kerajaan negeri telah diberikan amanat oleh kerajaan
Persekutuan untuk mencari kawasan atau tanah yang sesuai untuk merealisasikan
projek tersebut. Pihak AWLU juga telah menyatakan hasrat mereka kepada Ketua
Menteri Pulau Pinang untuk tidak melibatkan sebarang pengambilan tanah yang
mempunyai penduduk.
Walau bagaimanapun, pihak kerajaan Negeri telah mewartakan
pengambilan beberapa lot tanah kampung Genting pada awal bulan Ogos 2010 dan
sekitar awal bulan Oktober 2010, penduduk terbabit telah mula menerima notis daripada
Pejabat Daerah dan Tanah. Jika pihak AWLU sendiri berhasrat untuk memiliki tanah
milik kerajaan negeri, kenapa Kerajaan Negeri masih pilih tanah penduduk? Untuk
pengetahuan pembaca, pengambilan tanah Kg Genting ini akan melibatkan 12
pemilik tanah melayu yang berukuran lebih kurang 44 ekar dan 10 pemilik Cina
berkeluasan lebih kurang 29 ekar dan selebihnya tanah milik syarikat.
Surat yang dikatakan oleh penulis tadi merupakan surat daripada
Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Barat Daya Ruj PTBD/B/315(50) bertarikh 29 Jun
2012 yang bertajuk PERJUMPAAN TUAN TANAH BERSAMA YAB KM PULAU PINANG BAGI
PERMOHONAN PENGAMBILAN TANAH UNTUK TUJUAN AWAM (INSTITUSI PENDIDIKAN) DI MUKIM
J DAN 7, DAERAH BARAT DAYA, PULAU PINANG, sementara surat dari Pejabat SUK
Ruj PSUKPP/05/0761/27 Klt.18 bertarikh 20 Jun 2012 yang bertajuk PEMBINAAN
UNIVERSITI DI GENTING, BALIK PULAU-AWLU DI BAWAH PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI
(ETP) KERAJAAN PERSEKUTUAN.
Melalui surat tersebut, penduduk diarahkan untuk berjumpa dengan Ketua
Menteri pada 3 Julai 2012 bertempat di KOMTAR untuk membincangkan mengenai
harga yang akan ditawarkan. Satu lagi persoalan timbul tentang budi bahasa
Ketua Menteri Pulau Pinang ini, tanah orang yang nak diambil, sepatutnya
beliaulah yang berjumpa dengan penduduk bukannya penduduk terhegeh-hegeh jumpa
beliau. Adakah ini budi bahasa seorang yang diangkat sebagai Khalifah Umar?
Mengambil kira amanat kerajaan Persekutuan yang telah diberikan kepada kerajaan
negeri Pulau Pinang untuk memilih tanah yang sesuai ini, Ketua Menteri Pulau Pinang dilihat
mengambil kesempatan untuk menawarkan tanah kampung Genting kepada AWLU
walaupun pihak AWLU telah menegaskan mereka berkehendakkan tanah kerajaan
negeri bukannya tanah penduduk. Bukankah ini dilihat sebagai satu langkah opportunis
oleh Ketua Menteri Pulau Pinang untuk memfitnah Kerajaan Barisan Nasional
sebagai kerajaan yang tidak berperikemanusiaan,regim dan kejam apabila
mengambil tanah penduduk untuk sebuah projek di bawah Program ETP? Kita semua
sedia maklum Kerajaan Negeri bukanlah mereka yang menyokong kerajaan pusat dan
perkataan PROJEK BARISAN NASIONAL merupakan perkataan yang digilai oleh
pencacai pencacai PR untuk digunakan sebagai modal fitnah.
Surat dari CM kepada AWLU setelah dibantah
Surat bantahan dari AWLU
Surat bantahan dari AWLU
Untuk makluman pembaca, projek AWLU ini tidak ditentang oleh
penduduk cuma apa yang ditentang adalah sikap tidak mengambil peduli kerajaan
negeri Pulau Pinang terhadap nasib yang bakal menimpa penduduk. Majoriti
penduduk membantah pengambilan tersebut di atas beberapa sebab iaitu:
i) Mereka tiada tanah lain untuk berpindah dengan keluarga yang
besar dan mereka memang tidak mampu untuk membeli rumah yang terlalu mahal di
Balik Pulau kerana kerajaan Negeri tidak pernah membina rumah kos rendah.
ii) Harga pampasan yang telah ditawarkan terlalu rendah iaitu RM8
ke RM10 sekaki persegi walhal harga pasaran sekarang adalah dalam lingkungan
RM35 ke RM40 sekaki persegi. Dengan harga pampasan ini, penduduk tidak mampu
untuk membeli tanah ataupun rumah lain di Balik Pulau melainkan berpindah
keluar dari Pulau Pinang dan mencari rumah atau tanah di Sungai Petani yang
jauh lebih murah.
Sebagai simbolik membantah pengambilan tanah tersebut, penduduk
sebulat suara menghantar surat rasmi bantahan kepada TKM 1 dengan
menandatangani surat tersebut dengan dakwat merah (simbolik kepada darah). Berikutan
tindakan itu, YB Mansor telah memperlekehkan orang kampung sebagai mereka yang
tidak tahu menandatangani surat disebabkan tidak menggunakan pen berdakwat
hitam.
Mengikut para ketiga surat dari Pejabat SUK Ruj PSUKPP/05/0761/27 Klt 18
bertarikh 20 Jun 2012, ada menyatakan bahawa pihak AWLU telah mengenal pasti
tanah seluas 100 ekar di Genting, Balik Pulau. Persoalannya, bagaimanakah pihak
AWLU mengetahui berkaitan dengan tanah ini? Tentunya dengan maklumat dari pihak
kerajaan Negeri sendiri. Yang menghairankan adalah, setelah pihak kerajaan
Negeri tahu akan bantahan penduduk, mengapa tanah di Kg Genting masih
dimaklumkan kepada pihak AWLU bahawa tanah itu boleh digunakan untuk pembinaan
universiti mereka? Kita yakin jika sekiranya dari awal lagi pihak AWLU diberikan maklumat sebenar berkaitan dengan tanah dan pendirian
pemilik tanah Kg Genting, tentunya keputusan juga akan berbeza.
Kenyataan penulis bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang ini sebagai
opportunis telah terbukti apabila pada satu sidang akhbar beliau menunjukkan
kepada wartawan surat bertarikh 12 Jun 2012 daripada YB Senator Idris Jala
sebagai bukti bahawa projek itu adalah projek kerajaan Persekutuan dan
pengambilan tanah Kg Genting adalah di atas tindakan kerajaan Persekutuan. Pada
perjumpaan baru-baru ini yang bertarikh 22 Julai 2012, pemilik tanah telah
dipanggil sekali lagi dan kali ini, Ketua Menteri Pulau Pinang membuktikan
beliau adalah 'hero penyelamat' Kg Genting dengan menunjukkan sepucuk surat
kepada penduduk bahawa beliaulah individu yang bertanggungjawab mencadangkan
kepada pihak AWLU supaya memilih tanah di tempat lain untuk pembinaan
universiti tersebut sedangkan penduduk tahu dari awal lagi keputusan untuk
memilih Kg Genting adalah keputusan kerajaan Negeri kerana pada surat tersebut
tidak ada pun disebut tentang pemilihan Kg Genting sebagai tapak AWLU. Seperti
apa yang penulis katakan, Ketua Menteri cuba menangguk di air yang keruh.
Sekali lagi, persoalan ditimbulkan kepada pembaca, mengapa Ketua
Menteri, Lim Guan Eng sangat berminat untuk mengambil tanah Kg Genting walhal
masih banyak lagi tanah kosong yang lebih luas di Balik Pulau ini. Adakah
tindakan ini benar seperti apa yang dispekulasikan oleh orang ramai bahawa
beliau ingin mengusir penduduk tempatan secara halus dan menggantikan dengan
penduduk luar yang lebih berkemampuan untuk membeli rumah kos tinggi yang giat
dibina di Balik Pulau? Persoalan itu, penulis tinggalkan kepada pembaca untuk
menjawabnya.
Konflik berusia dua tahun ini telah pun selesai di mana tanah Kg
Genting bukan lagi pilihan Ketua Menteri. Projek AWLU telah pun dipindah kepada
kawasan yang baru yang bertempat tidak jauh dari Kg Genting iaitu di Jalan
Pondok Upeh. Untuk makluman, kawasan tanah Pondok Upeh yang diberikan kepada
pihak AWLU ini telah pun menjadi tanah kerajaan negeri sejak sekian lama lagi
tapi penduduk Kg Genting pelik kenapa tanah ini tidak menjadi pilihan utama
tetapi sebaliknya tanah mereka. Tindakan Ketua Menteri dalam melaksanakan
amanat kerajaan Persekutuan adalah seperti layar yang menimpa tiang, harapkan
pegar, pegar makan padi. Bagi penulis, kesilapan terbesar Ketua Menteri adalah
apabila menganggap penduduk Kg Genting ini seperti langau di jubur gajah.
Akhir sekali, penulis ingin menyampaikan pesanan daripada Sharil
Ahmad, Pengerusi Badan Bertindak Kg Genting yang penulis terima melalui emel :-
'Kepada pihak AWLU, Balik Pulau adalah tempat tinggal kami. Jangan
memusuhi kami jika anda mahu menjadi sebahagian daripada kami.'
p/s- Nampak kan permainan halus ni macam mana? Sebelum KM mendabik dada pasal isu ni dalam Buletin Mutiara biar aku dedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Kalau Cai PR bolehla lu nak kencing Mr Lim.
No comments:
Post a Comment